Monday, September 22, 2008

Penentuan Jantina Mengikut Al-Quran


"Dialah yang menciptakan kamu berpasang-pasangan,lelaki dan perempuan.Daripada nutfah apabila dipancarkan."(An-Najm-45 dan 46)

Nutfah,mengikut tafsiran yang sahih adalah air mani yang sedikit.Mengikut Imam Qartubi di dalam al-Jamik li Ahkamil Quran,nutfah bermaksud, “Air mani lelaki.Ia dinamakan nutfah disebabkan jumlahnya yang sedikit.”Oleh kerana air mani adalah sperma yang bercampur dengan cecair yang dikeluarkan oleh beberapa alat jantina lelaki,justeru nutfah dengan jumlah yang sikit membawa maksud sperma.Hal ini disebabkan daripada air mani yang banyak,hanya sedikit sahaja daripadanya yang diperlukan untuk proses persenyawaan.Yang sedikit dan menjadi penentu itu adalah sperma.Justeru di dalam kamus Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic,perkataan nutfah diterjemahkan sebagai drop,sperm iaitu setitik atau sperma.

Justeru ayat ini dengan jelas menunjukkan dalam kejadian manusia,penentuan jantina seorang bayi ditentukan oleh nutfah iaitu benih lelaki yang terdapat dalam air mani.Kenyataan ini adalah selari dengan penemuan sains semasa.Hal ini disebabkan secara umumnya rupa bentuk seseorang bayi ditentukan oleh 46 kromosom dan daripada 46 kromosom ini,dua daripadanya adalah kromosom seks.Kromosom seks inilah yang menentukan samada seseorang bayi itu menjadi lelaki atupun perempuan.

Y dan XX.

Benih lelaki iaitu sperma,mengandungi kromosom seks “XY” dan benih wanita iaitu ovum,mengandungi kromosom seks “XX”.Semasa proses persenyawaan berlaku antara benih lelaki dan perempuan,kromosom seks lelaki berpisah menjadi Y dan X manakala kromosom seks wanita berpisah menjadi X dan X.Salah satu daripada kromosom seks lelaki bercantum dengan salah satu daripada kromosom seks perempuan bagi menentukan status jantina seseorang bayi.

Oleh kerana kedua-dua kromosom seks wanita adalah sama iaitu X dan X,sedangkan kromosom seks lelaki berbeza iaitu X dan Y,maka yang menentukan sama ada seseorang bayi menjadi lelaki ataupun perempuan adalah kromosom seks lelaki.Sekiranya kromosom X lelaki bercantum dengan kromosom perempuan iaitu kromosom X,maka bayi itu akan menjadi perempuan.Sebaliknya apabila kromosom Y lelaki bercantum dengan kromosom perempuan,maka bayi itu akan menjadi lelaki.Justeru,benarlah kenyataan Allah yang mengatakan bahawa kejadian lelaki dan perempuan ditentukan oleh nutfah atau sperma lelaki….

Wallahu`alam…..

Rujukan:Quran Saintifik,Dr. Danial Zainal Abidin

No comments: